Jumat, 01 Februari 2013

ESAI : Herman Mutiara (Sabtu, 14 Januari 2012)



Catatan Si Pseudo-Mumbaikar 1


 

C
uaca panas dan berbahang. Peluh memancur dari setiap pori di tubuhku. Aku mempercepatkan langkah semampuku. Waktu tengah hari begini, jalan Dr. Anandrao Nair Marg di kota Mumbai penuh sesak dengan pejalan-pejalan kaki, sehingga siarkaki tidak dapat menampung kesemuanya. Limpahan pejalan-pejalan kaki tumpah ke tepi jalanraya yang juga padat dengan berbagai jenis kenderaan.
            Kenderaan-kenderaan yang melalui jalanraya pula tidak henti-henti membunyikan hon. Yang tidak membunyikan hon hanyalah kereta-kereta lembu, kerana hon (tanduk) lembu tidak boleh mengeluarkan bunyi.
            Udara juga menyesakkan dengan bau kemenyan dan setanggi yang dibakar pekedai-pekedai yang mahu menghilangkan bau sampah-sarap yang hanyir lagi meloyakan yang entah berapa hari tidak diangkut pergi oleh pekerja-pekerja pembersihan dari majlis perbandaran.
            Sekawan gagak turun ke tepi jalan untuk menjamu selera; ada sekantung usus kambing yang dibuang orang di situ. Gagak-gagak itu kemudian terbang bertempiaran apabila sekumpulan anjing-anjing berkurap tiba untuk menguatkuasakan hak milik mereka ke atas usus kambing itu.
           
Teksi-teksi hitam berbumbung kuning diletakkan sembarangan di sepanjang jalan hingga menyusahkan laluan pejalan-pejalan kaki. Pemandu-pemandu teksi pula, bila tiada penumpang, kelihatan sedang bersembang sambil meminum chai yang dibeli dari gerai-gerai di tepi jalan. Ada yang kelihatan sedang berehat di dalam teksi masing-masing; ada juga yang sedang nyenyak tidur.
            Di mana sahaja di kota Mumbai ini sama keadaannya; sesak dan menyesakkan bagi mereka yang tidak biasa dengan suasana sebegini. Aku melepasi Hospital Nair yang terletak di kiriku. Bangunan hospital itu terlindung dari jalanraya utama oleh pohon-pohon rendang yang tumbuh di sekeliling hospital.
Aku boleh mempercepatkan langkahku di sini kerana tidak ramai pejalan kaki.
            Aku melintasi Balai Polis Agripada di kananku. Tidak jauh lagi, bisik hatiku. Destinasi yang ingin kutuju berada di sebelah balai polis itu.
            Dari jauh, dekor kafe yang bermotifkan warna merah hati dan ungu terang itu seolah-olah mengalu-alukan kedatanganku. Suhu turun mendadak sebaik sahaja aku melangkah masuk ke Cafe Coffee Day. Kutinggalkan dunia Mumbai yang panas, kusam dan berdebu di luar pintu kafe. Lega sungguh rasanya berada dalam lingkungan yang berhawa dingin.
            Seorang pelayan datang kepadaku dengan membawa menu. Aku memesan 'iced mocha' dan 'veg burger' darinya. Kemudian aku keluarkan sebuah buku novel dan komputer iPad dari beg sandangku. Kalau aku tidak ada idea untuk menulis di iPad, aku akan membaca novel.
            Memang nyaman suasana di kafe ini. Bunyi hon kenderaan yang bertali-arus di luar sana bagaikan mimpi ngeri yang meruap sebaik sahaja aku terjaga dari tidur, dengan mudah dapat kutepis dari deria pendengaranku sepertimana aku membacakan isti'adzah dan membuat isyarat meludah tiga kali ke kiri apabila terjaga dari mimpi buruk.
            Terdapat sebuah masjid tidak jauh dari kafe ini. Masjid Al-Madinah yang terletak di Motibai Street hanya kurang dari seratus meter sahaja dari Cafe Coffee Day. Apabila tiba waktu solat, aku akan singgah di masjid itu.
           
Suasana di Motibai Street berbeza dengan Dr. A. Nair Marg. Motibai Street bukan jalanraya utama, jadi ia tidak sesak dengan kenderaan seperti Dr. A. Nair Marg. Terdapat beberapa buah bangunan apartmen di kiri dan kanan lorong itu. Selepas melepasi kawasan perumahan itu, aku melintasi sebuah sekolah dan sebuah pejabat pos.
            Pejabat pos itu menarik perhatianku. Ia hanyalah dua buah bangunan garaj terbuka yang dijadikan pejabat. Dari luar, aku dapat melihat belasan orang pekerja pos di pejabat "garaj" itu menguruskan surat-surat yang dikeluarkan dari kantung-kantung besar yang dibawakan khas menerusi perantaraan van perkhidmatan pos yang diparkir di luar "garaj".
            Cuaca di sini dingin, berangin dan nyaman kerana pohon-pohon tinggi dan rendang yang tumbuh di sepanjang Motibai Street memberikan teduh kepada sesiapa sahaja yang melalui lorong itu. Tidak beberapa lama kemudian, sampailah aku di Masjid Al-Madinah.
            Bangunan utama masjid itu berwarna putih bermotifkan kubah hijau di salah satu temboknya. Sebuah bangunan tiga tingkat di sebelah bangunan utama menempatkan pejabat dan bilik darjah. Aku menanggalkan sepatu lalu masuk ke bangunan utama. Selepas mengambil wuduk, aku membaca kitab Al-Quran di dewan solat sambil menunggu azan dan iqamat.
            Satu-persatu, jemaah tiba dan memenuhi dewan solat. Apabila muazzin berdiri di saf pertama lalu melaungkan iqamat, dewan solat sudah padat dengan para Muslimin yang ingin menunaikan solat fardhu. Pemandangan sebegini jarang sekali terdapat di negeriku sendiri.
            Petang itu, selepas mengambil isteri dari tempat dia berkursus di sebuah pusat pediatrik di Javji Dadaji Marg, kami mengambil keputusan untuk singgah di Orchid City Centre Mall di Belasis Road untuk membeli beberapa barang keperluan. Seperti biasa, jalan raya sesak dan bising, terutama di sekitar kawasan Stesen Keretapi Mumbai Central di persimpangan jalan Belasis Road dan Dr. A. Nair Marg. Jalan lecak di sini-sana.
            Bau menusuk hidung dari sebuah tandas awam berhampiran tidak dapat dielakkan lagi. Seorang pemuda meludahkan sirih yang telah dikunyahnya, hampir mengena sepatuku. Dia meminta maaf dalam bahasa Hindi, namun aku tidak kisahkan sangat. Ia perkara kecil bagiku. "Forgive and forget." Perjalanan kami teruskan.
            Keadaan di pusat membeli-belah Orchid City Centre Mall juga agak sesak, namun mujur ia berhawa dingin. Kami terus ke Big Bazaar di aras tiga untuk membeli barang-barang keperluan kami.
           
Seusai urusan kami di sana, kami pulang ke hostel YMCA di mana kami menginap. Kami melalui Mohamad Shahid Marg di kawasan penduduk beragama Islam. Sudah masuk waktu Maghrib. Kota Mumbai beransur-ansur diselimuti kegelapan. Cahaya dari tiang-tiang lampu menggantikan fungsi sang mentari yang sudah terbenam di ufuk barat.
            Jalan sepanjang Mohamad Shahid Marg yang sempit itu agak gelap, berdebu dan kusam walaupun terdapat tiang-tiang lampu menyuluhkan sinar. Kedai-kedai di sepanjang jalan sudah ditutup, yang tinggal hanyalah gelandangan yang terpaksa menumpang teduh di tepi jalan. Isteriku terkesan dan terharu dengan pemandangan yang dilihatnya.
            Wanita-wanita yang duduk dengan hanya beralaskan tikar lusuh memasak makanan malam di tepi jalan menggunakan periuk dan kayu api, sambil anak-anak mereka yang comot dan berpakaian lusuh bermain-main di jalanan, tanpa mempedulikan manusia dan kenderaan-kenderaan yang lalu lalang dalam jarak yang membahayakan. Bau asap dari kayu api yang dibakar untuk memasak bercampur dengan aroma dari sampah-sarap yang sudah membusuk sangat menyesakkan pernafasan.
           
Kami tiba di satu persimpangan dan membelok ke YMCA Road. Suasana di sini lebih tenang berbanding dengan di Mohamad Shahid Marg. Kami melintasi sebuah padang kriket, masih ada anak-anak muda yang melepak di 'grandstand' batu di sekeliling padang itu. Kami meneruskan perjalanan kami tanpa henti.
            YMCA International House, tempat kami menginap, muncul di pandangan kami di sebelah kanan jalan, sementara di sebelah kiri, sebuah bangunan gelap tidak berlampu yang menjadi tempat ibadat kumpulan Jemaah Ahmadiyya yang mempercayai bahawa pemimpin mereka, Mirza Ghulam Ahmad Qadiani, adalah nabi akhir zaman, Nabi Isa Al-Masih yang diinkarnasi dan Imam Mahdi — tiga-dalam-satu — terus bergelap tanpa cahaya hidayah.
            Hingga kini puak yang menamakan kumpulan mereka 'Ahmadiyya Muslim Jamaat' ini masih tidak dapat menerima bahawa pemimpin mereka itu mati dalam keadaan hina, yakni tercirit-birit tanpa berpeluang untuk bertaubat di akhir kalamnya akibat penyakit kolera, hanya beberapa bulan selepas bermubahalah dengan seorang ulama' dari Amritsar.
            Mereka masih tidak percaya bahawa pemimpin yang mereka agung-agungkan itu mati kerana ditimpa laknat Tuhan yang dia sendiri serukan ke atas dirinya ketika bermubahalah, sedangkan lawan mubahalahnya, sang ulama' dari Amritsar itu, panjang umurnya dan dapat terus berbakti kepada agama Ilahi sehingga akhirnya dijemput pulang ke negeri abadi dalam keadaan tenang dan terhormat. ***


Penulis, Sastrawan asal/dan tinggal di Singapura

Tidak ada komentar:

Posting Komentar